Skip to content

Kali terakhir ku tatap wajahnya…

June 10, 2009

Pertengahan 1996

Sedang berjalan pulang dari sekolah tengah hari itu, tiba-tiba Kancil putih WEB 5152 dipandu Kak Long berhenti di sebelah aku… “Cepat naik… Pak Ndak masuk hospital,” kata Kak Long. Aku lantas masuk ke dalam kereta dan bertanya, “Pak Ndak sakit apa?… “Tak tahu… pagi tadi masuk hospital,” jawab Kak Long.

Petang itu… aku, Kak Long, Tok dan adik-adik tiba di wad papan setingkat yang agak usang di Hospital Kuala Lumpur… Kak Epit tidak turut serta kerana berada di ITM manakala mak dan abah pula sedang menunaikan haji di Mekah.

Dari jauh nampak kelibat seorang lelaki memakai kain pelekat berbaring di katil… aku tahu lelaki itu adalah Pak Ndak… aku kenal sangat corak kain pelekat dan rambut kerinting itu…

Peristiwa itu sudah 13 tahun berlalu… aku tak ingat bait-bait perbualan dengan Pak Ndak… aku tak banyak bercakap… hanya memerhati dan mendengar nasihat Tok pada Pak Ndak… cuma aku masih ingat, Pak Ndak berulang kali berkata… “Pak Ndak ok… Pak Ndak tak apa-apa.”

“Kau ni banyak sangat minum milo pekat Mid… selalu sangat mandi malam…” Itu antara kata-kata Tok yang masih aku ingat… aku tak pasti penyakit buah pinggang yang dihidapi Pak Ndak ada kaitan dengan milo atau mandi malam, tapi orang tua bercakap berdasarkan pengalaman…

Disember 1996

“Lepas ni korang pandai-pandailah pergi stadium sendiri… Pak Ndak dah malas nak pergi stadium lagi… korang berdua pun dah besar,” kata Pak Ndak kepada aku dan sepupu, Rashfan sebaik Selangor menjulang Piala Malaysia selepas menewaskan Sabah di Stadium Shah Alam malam itu.

Aku tak ambil pusing dengan kata-kata Pak Ndak kerana terlalu gembira meraikan kejayaan Selangor… “Eleh… Pak Ndak ni cakap je lebih… dia mana boleh kalau tak pergi stadium,” kata aku dalam hati.

Mana mungkin Pak Ndak dan Selangor dipisahkan… Pak Ndak lah orang yang bertanggungjawab memperkenalkan aku dengan bola sepak… orang yang bertanggungjawab membawa ke Stadium Merdeka pada usia aku baru mencecah 9 tahun hingga aku menjadi penyokong Selangor…

Pak Ndak juga lah orang yang bertanggungjawab menyebabkan aku menjadi penyokong Liverpool sejak 21 tahun lalu dan Pak Ndak juga lah yang bertanggungjawab memupuk minat aku menjadi penjaga gol hingga aku akhirnya terpilih mewakili sekolah dan muncul penjaga gol terbaik daerah pada 1991.

Mana mungkin Pak Ndak dan bola sepak dapat dipisahkan… mana mungkin Pak Ndak tak mahu lagi ke stadium… mana mungkin Pak Ndak begitu mudah melupakan Selangor… mana mungkin Pak Ndak membiarkan anak saudaranya bersendirian ke stadium…

Jun 1997

Pagi Sabtu itu aku masih dibuai mimpi… aku mahu tidur sepuas-puasnya di rumah selepas seminggu melalui Minggu Wawasan Siswa yang memenatkan… tiba-tiba pintu bilik diketuk… “Bangun… kita pergi hospital sekarang… Pak Ndak jatuh,” kata mak cemas…

Setibanya di Hospital Kuala Lumpur, Pak Ndak tidak sedarkan diri… masih dirawat di Unit Kecemasan… kata Tok, Pak Ndak jatuh di biliknya ketika hendak ke bilik air…

Esoknya aku datang lagi ke HKL… Pak Ndak sudah dipindahkan ke wad… Pak Ndak masih tidak sedarkan diri… bermacam-macam wayar ada di badan Pak Ndak yang terus hidup menggunakan alat bantuan pernafasan…

Kata doktor, hayat Pak Ndak bergantung pada semangatnya… semua orang bersedih dan aku hanya mampu membisikkan fatihah di telinga Pak Ndak…

10 Jun 1997

Pagi itu aku rasakan terlalu berat untuk ke kelas… rasa tak sedap hati… lama aku termenung di katil bilik 410 Kolej Perindu 4, ITM Shah Alam… ingatanku melayang mengenangkan Pak Ndak… namun aku gagahkan juga diri ini ke bilik air dan bersiap memakai kemeja dan slack kerana hari Isnin adalah hari pakaian formal…

Sedang melangkah lesu ke kuliah, aku singgah di public phone lalu mendail nombor rumah… belum sempat berkata apa-apa, abah yang menjawab telefon segera memberitahu… “Kamu terus pergi rumah Mak Enon… jenazah dah ada kat sana.”… perlahan-lahan air mata aku mengalir…

Bas City Liner nombor 222 pagi itu agak kosong… sekosong yang aku rasakan bila ingatanku melayang mengenang memori indah bersama Pak Ndak yang sudah tiada… perjalanan dari ITM ke Bus Stand Klang membelah Lebuhraya Persekutuan itu aku rasakan terlalu panjang…

Pak Ndak terlalu baik dengan anak-anak buahnya… segala kemahuan anak buah akan Pak Ndak turutkan…

Pernah sekali sekitar 1993, aku beria-ia mengajak Pak Ndak ke stadium menyaksikan Pesta Bola Merdeka… Pak Ndak tak ada duit, kalau ada pun mungkin cukup-cukup belanja harian ke pejabat… aku tahu hakikat itu kerana Pak Ndak berulang kali bertanya sama ada aku ada duit atau tidak… sesekali Pak Ndak mengeluh… tetapi entah dari celah mana, Pak Ndak tetap mampu menunaikan permintaan aku ke stadium…

Dalam kesayuan sambil memandang kesibukan Federal Highway dari cermin bas itu, aku teringat kata-kata Pak Ndak “Lepas ni korang pandai-pandailah pergi stadium sendiri… Pak Ndak dah malas nak pergi stadium lagi… korang berdua pun dah besar.”… rupa-rupanya Pak Ndak seolah dapat merasakan dia akan pergi meninggalkan kami.

Aku tiba di rumah Mak Enon di AU5 Lembah Keramat jam 11 pagi… aku diberitahu jenazah sudah dibawa ke surau… setiba di surau, aku lihat Tok menangis… adik kembar aku turut menangis… Atiqah dan Azirah memang manja dengan Pak Ndak… dalam usia yang baru mencecah 11 tahun, aku mengerti betapa mereka belum mampu menerima hakikat kehilangan bapa saudara tersayang…

Hari itu aku tidak banyak bercakap… hanya memerhati sekeliling… suasana terasa terlalu suram… aku lihat semua orang bersedih… aku tidak lagi menangis… tetapi dalam hati hanya Tuhan saja yang tahu…

Tidak lama selepas itu, Pak Ndak sudah dikafankan… hanya raut wajah Pak Ndak yang pucat lesi itu dapat dilihat… Tatkala mengucup dahi Pak Ndak, itulah kali terakhir aku melihat wajahnya…

10 Jun 2009

Hari ini genap 12 tahun arwah Pak Ndak pergi… ingatan terhadapnya masih segar… sepanjang tempoh itu, tidak pernah aku lupa sedekah surah al-fatihah buat arwah Pak Ndak… sepanjang tempoh itu juga, sesekali arwah Pak Ndak muncul dalam mimpi…

Al-Fatihah…

One Comment leave one →
  1. cik.ptd permalink
    June 10, 2009 9:48 am

    sedihnya entri ini.. hari ini 10 Jun.. genap 12 tahun pak ntah meninggalkan kita.. tapi ingatan pada pak ndak tak pernah hilang.. setiap kali raya pak ndak akan pos kad raya pada semua anak2 saudaranya.. 1 mgu sblm pak ndak jatuh, ada kenduri kat umh maklang.. masa tue pak ndak kurang bercakap dan hanya merenung jauh ke luar rumah.. mgkin dia dah dpt merasakan yg dia akan pergi jauh..

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: