Skip to content

Kesusateraan Melayu: Hikayat Isma Yatim

March 6, 2009

Gambar hiasan

Gambar hiasan

Pengenalan Hikayat Isma Yatim

Hikayat Isma Yatim merupakan sebuah hikayat lama Melayu. Ia termasuk dalam daftar yang disediakan oleh Werndly, yang mencatitkan berkenaan Hikayat Isma Yatim bahawa: “Bahasanya baik dan bentuk karangannya kemas.”

Hikayat Isma Yatim mempunyai bentuk gaya jalan bahasa kesusasteraan Parsi-Arab dan boleh dikatakan tidak lagi terpengaruh oleh corak kesusasteraan Hindu-Jawa.

Kandungan hikayat ini menunjukkan ia merupakan kesusteraan yang bertujuan untuk bacaan golongan istana kerana jalan ceritanya banyak mem­bayangkan hal ehwal penghidupan dalam istana, demikian juga menceritakan sifat-sifat kebijaksanaan seseorang pe­gawai serta kebaktian dan taat setia kepada raja.

Dari sebab itu, hikayat ini bolehlah dijadikan contoh bagaimana bentuk corak hasil sastera ciptaan zaman Kerajaan Melayu Melaka yang memberi penekanan kepada sifat kebijaksanaan seseorang pe­gawai serta kebaktian dan taat setia kepada raja.

Salinan hikayat ini telah dicetak oleh Kelly & Walsh Ltd, Singapura pada 1910, untuk kegunaan sekolah-sekolah Melayu negeri-negeri Selat.

Pada per­mulaan kata naskah salinan ini dapat dipastikan corak­nya yang mencontohi kesusasteraan Parsi dengan menyerupai aturan pendahuluan kata Hikayat Amir Hamzah dan Sejarah Melayu.

Ringkasan Hikayat Isma Yatim

Seorang menteri di benua Keling, Megat Nira nama­nya telah pergi membawa diri ke negeri Masulipatam, sebab malu alah bermain catur dengan seorang hulubalang di hadapan majlis rajanya.

Pada masa isterinya hampir akan bersalin, maka di­ketahuilah oleh Megat Nira daripada beberapa alamat yang disaksikannya, bahawa ia akan memperolehi seorang anak yang amat bijaksana.

Hal ini terbukti apabila Isma Yatim diserahkan mengaji kepada seorang mualim bernama Sufian; dengan cepat dapat ia mengarang hikayat, mula-mulanya hikayat untuk kanak-kanak, kemudian di­karangkannya pula hikayat-hikayat yang mengandungi tamthil ‘ibarat untuk menambah akal dan menyukakan hati segala golongan orang ramai hingga termasyhurlah kebi­jaksanaannya ke seluroh negeri itu.

Sesudah itu dikarangkannya pula sebuah hikayat yang mengandungi panduan dan nasihat bagi raja-raja, lalu ia pergi kepada perdana menteri minta persembahkan hika­yat itu kepada raja.

Maka oleh perdana menteri itu di­bawanya Isma Yatim bersama-sama mengadap raja, dan pada hari itu juga ia telah diambil raja bekerja di dalam istana. Tiada beberapa lama sesudah itu ia telah diberi kerja menghampar permaidani raja dan kemudiannya di­jadikan biduanda.

Tatkala beramah mesra dengan seorang nakhoda yang datang daripada negeri asing ke negeri Indera-Patani, Isma Yatim telah menerangkan kepada nakhoda itu enam syarat yang harus diketahui oleh dagang sebagai membalas budi, maka nakhoda itu telah menghadiahkan pakaian yang in­dah-indah kepada Isma Yatim, demikian juga sebuah chanda-peti permainan ajaib yang didapatnya di pulau Mutia Langkawi untuk dipersembahkan kepada raja.

Di ­dalam peti itu ada dua buah permata Nila Kendi namanya. Sebuah daripada permata itu jika diletakkan di atas talam nescaya keluar dua ekor merak yang pandai berpantun dan berseloka; sebuah lagi permata itu jika diletakkan di atas geta keemasan akan keluar seorang puteri yang amat cantik parasnya.

Dengan kebijaksanaan Isma Ya­tim, akhirnya puteri yang bernama Ratna Kendi Maheran Langkawi dari permata Nila Kendi itu menjadi isteri raja.

Apabila terbit ancaman tentera Raja Rum Safardan akan melanggar negeri itu maka Isma Yatim telah dinaik­kan pangkatnya daripada jawatan bendahari menjadi pang­lima perang, dan dengan kebijaksanaannya tentera-tentera musuh itu dapat dikepungnya; tetapi kemudian kedua pi­hak itu telah mengikat persahabatan. Isma Yatim telah pula diangkat memegang jawatan perdana menteri.

Puteri Indera, permaisuri raja, mendapat tahu bahawa Puteri Ratna Kendi Maheran Langkawi telah hamil, maka khuatirlah ia kiranya bertambah-tambah kasih raja akan puteri itu, lalu difitnahkan oleh permaisuri, dikatakannya puteri itu hendak meracun baginda.

Oleh terlalu murka­nya.maka raja pun menyuruh bunuh tuan puteri itu; tetapi dengan kebijaksanaan Isma Yatim, yang melindungi puteri itu, iaitu disembunyikannya di dalam rumah di tengah-tengah sebuah kebun.

Raja telah menyesal oleh menghukum bunuh tuan puteri itu dengan tiada usul periksa lagi, maka ketika itu baharulah Isma Yatim menerangkan rahsia bahawa pe­rintah baginda itu sesungguhnya tidak dijalankan.

Puteri Ratna Kendi Maheran Langkawi bersama-sama Dewi Rum yang lahir dalam persembunyian itu, telah di sambut kem­bali ke istana dengan segala keraian.

Apabila raja telah mangkat maka puteri baginda itu­lah naik takhta kerajaan dengan geIaran Mengindera Seri Bulan di-Semudera Negara, di-bawah pimpinan dan didekan kedua ibu suri serta Perdana Menteri Isma Yatim.

Pada masa memimpin tuan puteri itu memerentah kerajaan banyak-lah nasihat dan kias ‘ibarat yang amat berharga di­beri oleh Isma Yatim. Akhir-nya tuan puteri itu berkah­win dengan Indera Mempelai, putera Raja Shahdon Meng­indera.

– dipetik dari Wikipedia

Rupa-rupanya mungkin tok wan memberikan abah dengan nama Ismayatim selepas mendapat ilham daripada hikayat ini. Happy belated birthday abah…

One Comment leave one →
  1. March 8, 2009 1:07 am

    Ye betul, 37 tahun yang lalu arwah Tok Wan ada cerita pd mak & abah mengapa dia namakan abah Ismayatim. Katanya nama itu diambil dari buku Indonesia “Hikayat Bachtiar”yg pernah dibacanya.

    Ismayatim merupakan orang kepercayaan raja dan dilantik sebagai Panglima Tentera yang akhirnya berkahwin dengan puteri raja.Begitulah al-kisahnya……….Tok Wan terpikat dengan nama itu.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: