Skip to content

Misteri suara perempuan menangis dan mengilai tengah malam

February 15, 2009

Dalam hening malam, seorang lelaki separuh abad menolak motosikal untuk pulang ke rumahnya yang terletak di sebuah kampung di pinggir bandar Kota Bharu selepas menziarahi ibu saudaranya yang sakit.

“Ahh… waktu ni pula la dia meragam,” katanya menyumpah motosikal buatan 1987 itu. Dia semakin gelisah. Manakan tidak, jam menunjukkan 1 pagi dan kira-kira 20 meter lagi dia akan melalui tanah perkuburan sebelum sampai ke rumah.

Bulu roma tengkuk meremang apabila pelbagai cerita yang pernah didengarnya mengenai misteri tanah perkuburan itu mula bermain dalam fikirannya.

Dalam sayup-sayup dia mendengar suara perempuan menangis. Selepas itu mengilai. Lantas mulutnya terkumat-kamit membaca beberapa potong ayat al-Quran yang dihafalnya.

Ketakutan tidak dapat ditahan lagi apabila dia melihat kelibat perempuan berbaju putih membawa anak kecil melintas di depannya. Melihat keadaan itu, dia pantas berlari pulang meninggal motosikalnya di situ.

Itu antara cebisan pengalaman yang didakwa dialami penduduk Kampung Sungai Keladi, Kota Bharu yang dikatakan sering diganggu suara misteri tengah malam sejak beberapa minggu lalu.

Mereka mendakwa diganggu bunyi menakutkan antara jam 12 tengah malam sehingga menjelang Subuh. Pelbagai versi cerita disampaikan penduduk, termasuk penemuan sebuah lubang berbau mayat berdekatan perkuburan kampung itu yang kemudian dikaitkan dengan suara misteri itu.

Sekumpulan remaja melihat lubang misteri

Sekumpulan remaja melihat lubang misteri

Bagi mencari kebenaran mengenai perkara itu, penulis bersama jurugambar, Haris Ibrahim mengunjungi kawasan yang didakwa itu selama dua malam berturut-turut, minggu ini (September 2006).

Bagaimanapun, tiada sebarang petanda atau penemuan boleh dikaitkan dengan suara misteri yang didakwa itu selepas lubang berkenaan digali.

Kisah misteri itu kemudian disiarkan akhbar menyebabkan kawasan tanah perkuburan itu menjadi tumpuan ramai yang berkunjung setiap malam sehingga jumlahnya mencecah ratusan orang.

Memang benar, `misi’ kami pada malam pertama kunjungan ke tempat itu mendapati kawasan kampung yang gelap dan sunyi mula diterangi lampu kenderaan serta deruman enjin puluhan remaja bermotosikal yang mengunjungi kawasan itu.

“Wah… happening betul tempat ni. Macam mana hantu nak keluar kalau macam ni,” kata penulis kepada Haris.

Orang ramai berkunjung ke Kampung Sungai Keladi untuk mendengar suara misteri

Orang ramai berkunjung ke Kampung Sungai Keladi untuk mendengar suara misteri

Melihat sekumpulan remaja memasuki kawasan hutan berhampiran untuk melihat lubang misteri yang didakwa penduduk, kami memberanikan diri meredah kegelapan malam sejauh kira-kira 50 meter dari tanah perkuburan itu.

Namun, bau busuk yang didakwa itu tidak ada. Beberapa minit kemudian kami berpatah balik ke kawasan perkuburan untuk menyambung semula `misi’ – misi tunggu dan lihat kalau-kalau ada hantu.

Jam 1 pagi, kami didatangi seorang wanita yang mengaku tinggal berhampiran tanah perkuburan itu.

Zaidah Mustafa, 37, mendakwa sering mendengar suara seperti perempuan menangis dan mengilai sekitar tanah perkuburan pada waktu tengah malam sehingga menjelang Subuh sejak beberapa minggu lalu.

Selepas itu, kami menyambung `misi’ sambil ditemani gigitan nyamuk sehingga jam 4 pagi sebelum membuat keputusan untuk pulang. Ternyata, `misi’ malam pertama kami gagal.

Kami sekali lagi mengunjungi kawasan itu keesokan malamnya. Hujan lebat sejak petang dan mula reda hampir jam 12 tengah malam ternyata tidak menghalang ratusan orang untuk tetap menunggu di situ.

Seorang lelaki berusia lingkungan 20-an yang enggan dikenali dan mengaku sebagai penduduk kampung itu, mendakwa pernah terserempak lembaga menyerupai seorang wanita menyusukan anak duduk berdekatan tanah perkuburan itu, kira-kira jam 2 pagi, bulan lalu, ketika dalam perjalanan pulang ke rumah.

“Tak logik ada ibu menyusukan anak tengah malam di kawasan perkuburan. Kawasan ni memang keras… saya pernah mendengar cerita ada orang gantung diri pada sebatang pokok berdekatan perkuburan ini,” katanya.

Selain itu, dia juga mendakwa orang kampung beberapa kali terserempak tiga lembaga melintas jalan di depan kawasan perkuburan itu selepas tengah malam menyebabkan ramai yang bimbang untuk pulang lewat malam.

“Mungkin lembaga itu ada kaitan dengan cerita tiga beranak yang mati bunuh diri yang pernah saya dengar beberapa tahun lalu,” katanya.

Pelajar, Azman Jusoh, 26, berkata dia dan tiga rakannya dari Melor datang ke kampung terbabit semata-mata mahu mendengar sendiri suara misteri itu.

“Banyak cerita saya dengar mengenai suara perempuan mengilai dan menangis. Rakan saya juga heboh menceritakan kejadian ini. Jadi, saya cuma nak pastikan kebenarannya,” katanya.

Selepas menunggu sehingga jam 4 pagi, kami semakin resah kerana masih tidak mendengar apa-apa suara yang boleh menghilangkan rasa mengantuk kami. Akhirnya kami membuat keputusan. Balik!

Dipetik dari story aku yang disiarkan di Berita Minggu pada 17 September 2006…. Bagi aku, ia memang pengalaman yang menarik, ye lah selama ni dok cover cerita politik, alih-alih boleh buat cerita misteri pulak…

4 Comments leave one →
  1. February 15, 2009 5:50 pm

    paper ko ade kuarkan stori cmnie ek…

  2. mywanfai permalink*
    February 15, 2009 10:35 pm

    manlukeman,
    biasa la bro, lebih kecil lebih terampil…

  3. Zackk permalink
    February 18, 2009 8:29 am

    Ni lah stori aku kena scoop lagi…….

  4. mywanfai permalink*
    February 18, 2009 7:28 pm

    Zackk,
    hahaha… masa mula2 break story ni dulu pakai muka depan… jangan marah aaaa…

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: