Skip to content

Mendulang emas di Kampung Kalai, Jeli

June 24, 2009
Penduduk Kampung Kalai mendulang emas untuk cari pendapatan sampingan

Penduduk Kampung Kalai mendulang emas untuk cari pendapatan sampingan

DIKELILINGI hutan hujan tropika dan bukit bukau membentuk muka buminya, Jeli dengan keluasan 1,318 kilometer persegi adalah jajahan ke-10 yang juga paling muda di Kelantan.

Sejak pembukaannya 25 tahun lalu, Jeli bukan saja masyhur dengan kekayaan sumber hutan, malah hutannya dikenali sebagai habitat hidupan liar seperti gajah, harimau dan beruang berikutan banyak kes membabitkan serangan haiwan itu terhadap manusia hingga menyebabkan kematian.

Namun, mungkin ramai tidak sedar, Jeli sebenarnya kaya khazanah bumi, termasuk sumber emas di beberapa kawasan, khususnya di beberapa perkampungan Melayu di hujung Barat Kelantan, bersempadanan Thailand dan Grik, Perak.

Kampung Kalai di Batu Melintang, kira-kira 30 kilometer dari pekan Jeli, mempunyai lebih 1,000 penduduk yang kebanyakannya menoreh getah dan berkebun sebagai sumber rezeki utama.

Selain itu, penduduk Kampung Kalai yang terletak 10 kilometer dari Lebuh Raya Timur-Barat sebenarnya mahir mendulang emas sejak bertahun-tahun lamanya sebagai pendapatan sampingan lantaran wujudnya beberapa batang sungai yang mengandungi sumber itu.

Sungai Pergau yang mengalir menerusi kampung itu menjadi tumpuan penduduk mencari emas sejak berpuluh tahun lalu sebagai pendapatan sampingan, khususnya musim hujan apabila penduduk tidak dapat menoreh.

Menurut cerita penduduk kampung, kawasan sekitar sungai itu diketahui mempunyai sumber emas sejak kampung ini mula dibuka sekitar 1960-an kesan lombong tinggal serta penemuan alat mengorek emas.

Penduduk percaya, hasil emas di kampung itu mula dikutip sejak zaman penjajahan British oleh pelombong Cina berikutan penemuan tembikar serta pinggan mangkuk dengan ukiran negara China yang banyak di sekitar kawasan itu.

Malah, tidak jauh dari sungai tempat penduduk mendulang emas, difahamkan wujud sebuah terowong tinggal sepanjang kira-kira 20 meter dipercayai pernah digunakan untuk melombong hasil emas yang kini sudah dipenuhi semak samun, tetapi tiada penduduk berani menghampirinya kerana bimbang ancaman binatang buas.

Perjalanan ke Kampung Kalai dari Kota Bharu mengambil masa hampir tiga jam, selepas pekan kecil kampung itu, penulis terpaksa meredah jalan berbukit di laluan sempit tidak berturap menggunakan kereta sedan dengan gusar, bimbang kereta yang dijaga seperti isteri itu mengalami kerosakan.

Mujur perjalanan merentasi hutan dan pokok getah di kiri kanan laluan itu tidak mendatangkan banyak masalah, namun tidak lama selepas itu, penulis terpaksa meninggalkan kereta di tengah hutan untuk meneruskan perjalanan.

Ini berikutan terdapat sebatang sungai kecil di laluan itu yang hanya boleh dilalui motosikal dan pacuan empat roda. Penulis dan jurugambar kemudian mengambil keputusan berjalan kaki hampir 20 minit meredah hujan menyusuri laluan kecil di kelilingi semak-samun dan ladang getah.

Lantas, perjalanan singkat itu membuatkan penulis terbayang kejadian menimpa warga emas, Mek Jah Ismail, 67, yang parah diserang harimau pada 2006 ketika menoreh getah di Kampung Sungai Long, Jeli – tidak jauh dari Kampung Kalai yang sedang dilalui penulis.

Kegusaran itu akhirnya hilang serta-merta apabila melihat kegigihan beberapa penduduk mengayak pasir sungai menggunakan kuali di sungai berkenaan bagi mencari logam berharga itu.

Sambil dipenuhi lumpur dengan menggunakan penyodok, penduduk terbabit langsung tidak menghiraukan hujan lebat semata-mata mencari serbuk bercahaya yang dipercayai tersembunyi di sebalik pasir sungai itu demi mencari pendapatan sampingan yang dianggarkan sekitar RM20 hingga RM30 sehari, yang turut bergantung kepada faktor nasib.

Dalam temu bual yang dilakukan ketika hujan lebat itu, seorang penduduk, Mazlan Mohd Nawi, 45, berkata walaupun perlombongan emas di beberapa kawasan sepanjang Sungai Pergau sudah dilakukan secara komersial oleh syarikat swasta sejak lebih 10 tahun lalu, penduduk masih menggunakan kaedah tradisional.

Kebanyakan penduduk menjalankan usaha mencari emas selepas selesai menoreh getah, kira-kira jam 11 pagi. Jumlah yang mendulang emas lebih ramai pada musim tengkujuh kerana tidak dapat menoreh.

“Dalam sehari, tidak banyak hasil yang dapat diperoleh dan bergantung kepada nasib. Biasanya emas yang diperoleh sekitar satu hingga dua gram, bolehlah dapat RM20 hingga RM30, kalau nasib tak baik, langsung tak ada,” katanya.

Kilauan emas pada kuali yang digunakan untuk mendulang

Kilauan emas pada kuali yang digunakan untuk mendulang

Mazlan mula mendulang emas sejak dari zaman kanak-kanak sesekali tersenyum apabila diajukan pertanyaan sama ada penduduk Kampung Kalai mampu hidup mewah menerusi kegiatan mendulang emas yang dimulakan sejak sekian lama.

“Tak adalah… kerja mencari emas ini bergantung kepada nasib. Kebanyakan penduduk hanya menjalankan kerja ini sebagai kegiatan sampingan untuk menambah pendapatan keluarga.

“Masa zaman kanak-kanak dulu pun, saya mendulang emas bersama kawan-kawan di kawasan ini setiap hari sebagai mengisi masa lapang. Saja seronok-seronok, hasil emas yang dijual pula digunakan untuk belanja sekolah,” katanya.

Menurut penduduk kampung, sumber emas yang kaya di kampung berkenaan serta beberapa kampung lain di sepanjang Sungai Pergau menyebabkan kawasan itu menjadi tumpuan orang ramai termasuk dari luar untuk mencuba mendulang emas.

Selain Mazlan, penulis turut kagum tatkala melihat kegigihan seorang ibu, Siti Hawa Awang, 48, yang sanggup basah kuyup serta tidak kisah dipalit lumpur pada tubuhnya untuk mencari pendapatan sampingan bagi membantu keluarga.

Tanpa menghiraukan hujan, Siti Hawa tekun mendulang pasir di dalam dulang kayu dengan seribu harapan agar ada kilauan berwarna emas melekat pada dulangnya untuk dibawa pulang.

Katanya, beliau bersama beberapa penduduk biasanya pergi ke sungai itu mencari emas kira-kira jam 11 pagi iaitu selepas selesai mengutip hasil getah di kebun berhampiran dan hanya akan pulang sekitar jam 3 petang.

Terdetik juga rasa kagum di hati penulis melihat kegigihan wanita separuh abad itu yang masih mempunyai kudrat mencari emas tanpa menghiraukan hujan atau panas demi membela nasib keluarga.

“Saya tak ada apa-apa petua bagaimana hendak mendapatkan emas yang banyak. Semuanya bergantung pada nasib, apa yang penting jangan berputus asa,” katanya sambil kedua-dua tangannya terus mengayak dulang tanpa henti.

“Ketika mengayak pasir, kita perlu menggunakan dulang yang diperbuat daripada kayu merbau kerana ia lebih kesat membolehkan serbuk emas yang tersangkut pada dulang, tidak terbuang begitu saja.

“Dulang yang digunakan mesti berwarna hitam kerana memudahkan kita melihat serpihan emas yang bercampur dengan pasir sungai,” katanya.

Usaha mencari emas turut diwarisi anak lelakinya, Zawawi Md Noor, 18, yang turut membantu ibunya menoreh getah dan mendulang emas sementara menunggu keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

“Saya sudah biasa mendulang emas di sini, dulu pun saya selalu ke sini mendulang emas bersama ibu dan rakan ketika cuti sekolah,” katanya.

P/S : Takde idea nak tulis entry apa kali ni… jadi aku copy paste je lah story aku yang disiarkan akhbar pada Januari 2008… jangan marah aaaa manlukeman….

20 Comments leave one →
  1. cikgu Anuar permalink
    June 15, 2010 9:08 am

    mcm mana nak g ke tempat tersebut mcm berminat gak :)
    ada no contact org kampung sana tak >

    • mywanfai permalink*
      June 16, 2010 12:16 am

      Di lebuh raya timur-barat masuk ikut batu melintang, kg kalai x jauh dari simpang tu… Contact no xde… Tq kerana sudi menjengah blog saya

      • Rostam abdul Rashid permalink
        February 4, 2012 2:23 am

        ade rase mcm nk pergi jer….kerap ke pegi sane?

    • jeme permalink
      May 10, 2011 7:55 pm

      minat sengoti k?….harga dule pun law nie dekat 100 sebutir pah tu nak ngayak belum tentu lagi bulih mas….hahahha…tq

      • June 25, 2011 9:50 pm

        salam bro..kawe nok tanyo klu nak beli dulang cam ner?no n o hp kawe 0139011181,harap dapat reply demo ,kawe no blaja mendule..nok cobo nasib weh..

  2. farah permalink
    August 4, 2010 9:47 pm

    salam,farah pernah sampai kg kalai ni…nice place..tp masih ad lagi ke mendulang emas kt sni???

    • mufaz permalink
      January 29, 2012 8:45 am

      ado la. bru jah g duo tigo hari baru ni. bulih sbesar taik mato pum suko sangat2 doh.

  3. mat nije permalink
    January 17, 2011 1:07 am

    kalu nk jadi kaya datanglah ke kampung kalai[cuti cuti malaysia]
    FROM;NIZAMBAI27@YAHOO.COM >>utk mengetahui lebih lanjut tengtang kg kalai ni..boleh lah email ke almat email diats..

  4. June 17, 2011 4:02 pm

    Salam semua,,kekadang hdp dbandar ni bnyak sngat tekanan…erm,,ingat sekali nk jgk cari member2 kt bandar yg minat mendulang emas,,blh buat kerja sampngan,mane la tau,,ader rezki.Sape2 yg berminat nk pg mendulang emas,,blhlah contact saya,kita sama2 belajar mendulang,,mana la tahu,,,kot2 dapat se sen 2.Tel,0199127007.Lie K.Bharu

  5. October 4, 2011 6:57 pm

    nak gi mandi sana la dah boring ne nak jalan kg kalai..ada kawan ke..nak lepak semalan

  6. steven permalink
    October 9, 2011 3:59 pm

    add my metal detector dalam facebook n lihat aktiviti kami… tq

    • tunku jaafar b.rj abd hamid permalink
      April 6, 2012 5:09 pm

      how to contact you,what is your blog add.

  7. yang terror permalink
    October 10, 2011 8:56 pm

    nak dulang contact aku je …

    • arifinahmad permalink
      December 19, 2013 4:42 pm

      assalam..boh,nok dulang gano?igt nk cubo nasib..

  8. ana permalink
    March 1, 2012 10:55 am

    kg. kalai 2 kampung saye…mase kecik2 saye slalu ikut ayah pergi mendulang emas….bez jugalah…pernah skali ayah terjumpa ketulan emas yang mencecah harga rm600…rezeki dier la kan

  9. ana permalink
    March 1, 2012 10:57 am

    kg kalai 2 kg saye….mase kecik2 dlu saye slalu ikut ayah pie mendulang emas…penah skali 2 ayah terjumpa ketulan emas yang mencecah harga rm600…

  10. cikgu deen permalink
    July 20, 2012 2:59 pm

    dulu pernah duduk kat kalai, jadi cikgu sandaran, tahun 1977 ,,sambil tunggu result mce/spm la tu.. ohh best kg tu, penduduk peramah anak gadis come kiut miut .kg. pulak aman cuma sunyi, ambo pulak budak bandar..pernah tengok dan pegang serbok emas semasa tengok ore mendulang tu, memang real emas..tak sangka sapa le ni masih lagi ada kerja..nostalgia betul..

  11. Muhammad Khairol Al-Maduni ( Gold Hunter ) permalink
    November 8, 2012 11:53 am

    masih ada lagi ke kegiatan mencari emas disini??

  12. Abdul Jalil permalink
    January 28, 2013 1:14 pm

    Macamana nak pi mendulang kat sana?

  13. Jambul Ku permalink
    April 1, 2011 7:58 am

    Bro Matnije,

    Dekat Kg. Kalai tu ada rumah sewa tak? Nak cuba mendulang kat sana le.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

Follow

Get every new post delivered to your Inbox.

%d bloggers like this: